Perayaan-Perayaan Utama Subramaniam (dewa)

Thaipusam

Thaipusam di Batu Caves

Thaipusam ialah sebuah perayaan yang disambut khususnya oleh orang Hindu berketurunan Tamil pada hari bulan purnama dalam bulan Thai (Januari / Februari) apabila bintang Pusam berada di puncaknya. Perayaan ini disambut dengan meriah di kuil-kuil Murugan bagi menandakan peristiwa Dewi Parvati memberikan sebatang tombak atau Vel kepada Murugan untuk mengalahkan Surapadman. Seperti yang dipercayai ramai, Thaipusam bukanlah hari lahir Murugan. Murugan dipercayai telah lahir pada Vaikhasi Vishakam dalam bulan Vaikhasi (Mei/Jun).

Asal-Usul

Agasyta Muni hendak membawa dua buah bukit iaitu Sivagiri dan Saktigiri ke kediamannya di selatan India. Beliau mengarahkan pengikutnya, Idumban dari keturunan Asura untuk mengangkut kedua-dua bukit itu. Idumban merupakan salah seorang daripada beberapa Asura yang masih hidup selepas pertempuran antara Murugan dan Surapadman. Idumban, selepas bertaubat, menjadi seorang penganut Dewa Murugan.

Ketika ini, Murugan telah melarikan diri ke India Selatan selepas dikalahkan oleh abang-Nya Ganesha dalam pertandingan mengelilingi dunia. Dengan marah, Murugan menduduki Tiru Avinankudi, di kaki bukit Sivagiri. Kemudian, Murugan berpindah ke bukit Palani dan menetap di sana sebagai seorang petapa.

Sementara itu, Idumban, menurut arahan gurunya, Agastya Muni menjunjung kedua-dua bukit Sivagiri dan Saktigiri pada bahunya menggunakan sebatang kayu. Apabila dia tiba di kaki bukit Palani, dalam keadaan penat, dia letakkan bebannya ke atas tanah, dan berehat. Apabila Idumban bersedia untuk meneruskan perjalanannya, dia tidak dapat mengangkat bukit-bukit itu. Dewa Murugan yang ingin menguji kecekalan dan ketaatan Idumban kepada gurunya, telah menghalangnya daripada mengangkat bukit-bukit itu.

Selepas mencuba beberapa kali untuk mengangkat bukit-bukit itu, Idumban akhirnya mendapati seorang budak lelaki di atas bukit. Idumdan mengarahkan budak itu untuk turun ke bawah agar dia dapat mengangkat bukit itu, tetapi budak itu enggan. Akhirnya, satu pertempuran hebat tercetus antara mereka dan budak itu mengalahkan Idumban. Selepas dihidupkan semula oleh budak itu, Idumban sedar bahawa budak itu ialah sebenarnya Dewa Murugan. Dengan penuh iman, Idumban berdoa kepada-Nya:

  • Sesiapa yang menjunjung pada bahunya, sebuah kavadi, seperti mana Idumban membawa bukit, dan melawat kuil Palani dengan bernazar, mesti dirahmati oleh Murugan; dan
  • Idumban harus diberikan kedudukan khas untuk berdiri di kaki bukit itu sebagai penjaganya.

Sejak itu, penganut-penganut Murugan membawa persembahan mereka di atas bahu sebagai kavadi. Tradisi ini telah tersebar dari Palani ke semua kuil-kuil Murugan.

Kavadi

Kavadi berasal daripada perkataan 'kaavu' dan 'tadi' yang bermaksud sebatang kayu untuk menjunjung barang. Pada zaman dahulu, orang akan menjunjung barang di atas bahu dengan menggunakan sebatang kayu panjang, batang tebu atau batang buluh. Terdapat pelbagai jenis kavadi. Kavadi yang paling ringkas mempunyai sebatang kayu panjang dengan dua buah bakul atau periuk yang diikat pada setiap hujungnya. Kavadi yang lebih besar dan mahal pula dihiasi dengan bunga-bungaan, bulu burung merak, loceng-loceng dan ada kalanya dalam bentuk kereta pedati. Antara Kavadi yang popular ialah Paal Kavadi (Susu), Teertha Kavadi (air suci), Panneer Kavadi (air mawar), Mayil Kavadi (kavadi yang dihiasi bulu burung merak), Pushpa Kavadi (kavadi yang dihiasi bunga-bungaan) dan karumbu totthi (batang tebu yang digunakan untuk menjunjung bayi).

Kavadi yang dijunjung oleh para penganut Murugan mengingatkan beban seseorang, seperti bukit-bukit yang dijunjung oleh Idumban. Para penganut percaya bahawa Dewa Murugan akan meringankan beban hidup seseorang yang membawa Kavadi. Persembahan kavadi semasa Thaipusam dianggap sebagai suatu ibadat yang penting.

Secara tradisi, persediaan untuk menjunjung Kavadi bermula empat puluh lapan hari (dikira sebagai satu mandala) sebelum hari Thaipusam. Para penganut akan menjalani disiplin penyucian fizikal dan mental seperti mengawal pancaindera, berpuasa penuh atau memakan makanan vegetarian, buah-buahan dan susu dalam kuantiti yang sederhana, menghindari rokok, minuman keras atau sebarang bahan-bahan yang memabukkan, mengamalkan brahmacharya (kawalan nafsu syahwat), mandi air sejuk. Orang lelaki juga tidak akan bercukur atau memotong rambut ketika berpuasa. Selain itu, seseorang juga perlu melakukan aktiviti berdoa pada waktu pagi dan senja, melakukan japa (mengulangi mantera suci), menyanyikan ayat-ayat suci Kantha Sashthi Kavacam, Kavadi Sindu, Tirupugal dan Kandar Anubhuti, dan mengingati Dewa Murugan.

Mereka yang berhajat akan menjunjung dan mengarak ''Kavadi' dan mendaki bukit atau tangga-tangga kuil seperti di Batu Caves. Selain itu ada juga yang menjunjung periuk berisi susu 'pal kudam'. Mereka akan membayar nazar sekiranya niat , hasrat dan doa tercapai pada tahun tersebut.

Amalan Menusuk Badan

Amalan menusuk badan dengan benda-benda tajam ialah sesuatu yang sering dipertikaikan. Agama Hindu sesungguhnya tidak mengalakkan penderaan badan yang melampau. Menurut Bhagavad Gita, 17.6: "Ketahui bahawa mereka yang tidak dapat membezakan baik buruk, mendera semua anggota badan mereka dan juga Aku (iaitu Tuhan) yang menghuni badan, sebagai manusia yang bersifat setan." Disiplin-disiplin fizikal seperti berpuasa adalah penting setakat ini menguatkan minda seseorang. Seseorang yang tidak mudah terjejas dengan kepanasan atau kesejukan, keseronokan atau kesakitan, ialah seorang yang amat cekal. Orang itu akan dapat mengharungi suka duka kehidupan dengan tabah dan tidak mudah mengalah. Apabila seseorang banyak berfikir tentang badannya, pemikiran dan mentalnya akan menjadi lemah.

Hinduisme melarang penganutnya untuk melakukan sesuatu secara melampau. "Sarvam atyanta garhitam" bermaksud "sesuatu yang melampau adalah tidak baik". Penderaan dan pengabaian badan bukanlah suatu sifat baik. Sebaliknya, badan yang kuat dan sihat diperlukan untuk mengamalkan agama dan disiplin kerohanian. Menurut Hinduisme, "Sharīramādyam khalu dharmasādhanam" - "Badan merupakan alat utama untuk mengamalkan agama atau dharma". Oleh itu, manusia perlu menjaga badannya dan tidak patut melukakan atau mendera badannya. Malah Hinduisme juga mengajar bahawa badan manusia adalah kuil Tuhan, kerana Tuhan menghuni badan manusia sebagai Atman.

"Udambinai Munnam Izhukkendru Irundhaen'

Udambinukku Ullae Uru Porul Kandaen

Udambullae Uththaman Koyil Kondan Endru

Udambinai Yaanirundhu Ombukindraenae."

Bermaksud, " Mula-mula aku menganggap badan sebagai suatu kekotoran. Kemudian, aku menyedari bahawa Tuhan berada dalam badanku. Dalam badanku, Tuhan bertahkta di sebuah kuil. Sejak itu, aku memuja dan memelihara jasad fizikalku." (Thirumanthiram ayat 725)

Subrahmaṇya-ṣaṣṭhī

Āṣāḍha śukla ṣaṣṭhī (dalam bulan Oktober/November) ialah satu hari suci untuk penyembahan Subrahmaṇya. Oleh itu, hari ini juga disebut sebagai Subrahmaṇya-ṣaṣṭhī atau Skanda-ṣaṣṭhī. Perayaan ini amat popular di negeri Tamil Nadu. Mereka yang mengidamkan anak lelaki yang baik atau ingin menyembuhkan anak yang sakit, dinasihati untuk mengamalkan perayaan ini. Persembahan lampu-lampu pelita, pakaian, dan ayam jantan (untuk dibela) ialah keistimewaan perayaan ini.[12]

Para penganut yang ingin merentasi sesuatu masalah atau bahaya dalam kehidupan mereka akan bernazar untuk membawa kāvaḍi, sebatang kayu dengan dua buah bakul di setiap hujungnya. Mereka menghindari aktiviti seksual, mengemis makanan dan persembahan untuk Dewa Skanda dan berjalan kaki tanpa kasut ke kuil Subrahmaṇya yang biasanya berada di atas bukit. Setibanya di kuil, mereka akan mempersembahkan bahan-bahan yang telah dibawa kepada Dewa Muruga.[13]

Kuil Subrahmaṇya di Tirucandūr (Thiruchendur ) menyambut perayaan ini sebagai tanda kemenangan Skanda dalam pertempuran dengan Surapadma atau Tārakāsura. Sempena enam hari pertempuran itu, penganut-penganut akan berpuasa dan bertapa selama enam hari. Mereka akan tinggal di kuil dan berpuasa selama enam hari. Pada hari Skandaṣaṣṭhī, mereka tidak akan meminum walau setitik air pun.[14]

Pada hari ini, babak-babak pertempuran dan kemenangan Dewa Skanda terhadap Surapadma akan dilakonkan di tepi pantai.

Menurut satu pendapat lain, perayaan ini jatuh pada Caitra śukla ṣaṣṭhī (dalam bulan Mac/April), tetapi jarang disambut pada hari itu.